RINGKASAN EKSEKUTIF
Tugasan
ini melaporkan berkaitan Konsep Sekolah Penyayang. Ianya membicarakan
aktiviti secara praktikal untuk menjayakan Konsep Sekolah Penyayang.
Tugasan ini dimulai dengan pendahuluan yang membicarakan senario
pendidikan semasa yang menuntut kepentingan wujudnya Sekolah Penyayang
dan kaitan dengan polisi dan dasar kerajaan.
Di
bahagian kedua tugasan ini, penulis membicarakan pula empat elemen
iaitu pentadbiran, guru dan kakitangan, komuniti dan pelajar yang
dirasakan penting dalam menentukan jaya atau gagalnya Sekolah Penyayang.
Di bahagian
ketiga tugasan ini, penulis membincangkan pula Konsep Budaya Sekolah
Penyayang. Penekanan diberikan kepada unsur-unsur yang perlu
dibudayakan di sekolah dan komuniti ke arah menjaya dan melonjakkan
Sekolah Penyayang di tengah-tengah masyarakat. Antara unsur yang
penting ialah kemesraan, sayang-menyayangi, ilmu, hormat-menghormati dan
lain-lain.
Di
bahagian keempat tugasan ini, penulis membincangkan pula
program-program praktikal yang telah berjalan dan boleh dijalankan untuk
menjayakan Sekolah Penyayang.
Di
bahagian empat pula, penulis membincangkan aktiviti yang praktikal yang
sesuai dilakukan di sekolah dan bersesuaian dengan persekitaran
sekolah.
Di
bahagian terakhir, penulis mengemukakan kesimpulan atau rumusan kepada
keseluruhan Konsep Sekolah Penyayang dan penekanan kepada kepentingannya
dalam membina jati diri pelajar.
1.0 PENDAHULUAN
Konsep
Sekolah Penyayang merupakan salah satu konsep yang penting dalam
sistem pendidikan Malaysia. Ianya mempunyai hubungan yang cukup erat
dengan cabaran ketujuh dalam Wawasan 2020, iaitu masyarakat penyayang
dan budaya penyayang. Konsep Sekolah Penyayang adalah konsep yang mampu
menyumbang ke arah melahirkan masyarakat penyayang. Sekolah Penyayang
juga mampu menjana para generasi pelajar yang seimbang dari segi emosi,
rohani, intelek, jasmani dan mempunyai disiplin diri yang tinggi.
Gejala
vandalisme dan ponteng sekolah adalah fenomena yang agak kritikal di
sekolah-sekolah pada masa kini. Gejala ini dapat ditangani apabila
wujudnya sekolah penyayang. Kerana itu, pihak Kementerian menyarankan
agar pihak sekolah menangani masalah ini, terutama ponteng sekolah
dengan merealisasikan Sekolah Penyayang supaya para pelajar dapat
dibimbing dengan penuh kasih sayang. Apabila wujud suasana kasih sayang
dan bimbingan ini, pelajar akan terpikat, terpanggil dan tergerak untuk
ke sekolah. ( Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.6/1995, Bahagian Sekolah,
Kementerian Pendidikan Malaysia, KP8591/Jld.VIII(9) bertarikh 5
September 1995 )
Sekolah
Penyayang dirasakan adalah elemen penting dalam melahirkan warga negara
Malaysia yang mempunyai minda kelas pertama. Apabila sekolah
menyediakan suasana yang kondusif dan baik, akan menarik minat para
pelajar untuk ke sekolah. Minda mereka akan dapat dibina dan diisi
dengan unsur-unsur yang boleh membangun jati diri sebagai warga Malaysia
yang membesar dengan acuan kita sendiri.
2. ELEMEN-ELEMEN SEKOLAH PENYAYANG
Sekolah
Penyayang adalah sekolah yang berperanan melahirkan pelajar-pelajar
selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan melalui suasana ilmu dan
kasih sayang. Menyentuh tentang Sekolah Penyayang, di sana terdapat
beberapa elemen penting dalam Sekolah Penyayang, iaitu :
2.1 Pentadbiran SekolahPentadbiran
sekolah yang dimaksudkan di sini ialah melibatkan Guru Besar atau
Pengetua, Guru-Guru Penolong Kanan dan Ketua-Ketua Bidang bagi sekolah
menengah
2.2 Guru-guru dan kakitangan sekolahGuru-guru dan kakitangan sekolah, termasuk kerani dan staf bukan akademik yang berada di sesebuah sekolah
2.3 KomunitiKomuniti
yang dimaksudkan di sini ialah ibubapa dan penjaga murid serta
institusi lain yang berada di sekitar sekolah yang boleh memberi
sumbangan kepada sekolah samada wang ringgit, tempat dan kepakaran.
2.4 PelajarPelajar
merupakan elemen yang cukup penting kerana adanya mereka, maka adanya
pekerjaan guru. Dengan adanya pelajar, maka tugas mengajar yang
merupakan ’core bussiness’ kita dapat dijalankan.
Keempat-empat
elemen ini memerlukan tindakan seiring sejalan dalam melahirkan Sekolah
Penyayang. Kesedaran yang meluas perlu digerakkan kepada keempat-empat
elemen tersebut untuk melihat kepentingan Sekolah Penyayang. Semangat
kolaboratif perlu ditekankan dalam menjayakan usaha murni ini.
3. BUDAYA SEKOLAH PENYAYANG
Sekolah Penyayang merupakan institusi yang amat diperlukan oleh para
pelajar kita dalam membina jati diri dan bakat kepimpinan. Dengan
segala macam salah laku yang berlaku dan dilakukan oleh para pelajar
kita, diharapkan dengan adanya Sekolah Penyayang ini menjadi tempat
berteduh dan menumpang kasih bagi para pelajar.
Namun
begitu, penulis melihat budaya Sekolah Penyayang perlu terlebih dahulu
wujud di kalangan pentadbir sekolah, guru dan kakitangan, komuniti dan
para pelajar sebagai satu pelincir ke arah menjayakan konsep ini. Di
antara budaya-budaya yang perlu diwujudkan terlebih dahulu ialah:
3.1 Kemesraan dan Sayang-Menyayangi
Budaya
kemesraan dan sayang-menyayangi adalah dua teras utama yang perlu dalam
menjayakan Sekolah Penyayang. Hubungan yang mesra antara guru dan
murid, guru dan ibubapa serta sayang-menyayangi antara satu sama lain
ádalah mekanisme penting dalam Konsep Sekolah Penyayang. Dua teras ini
perlu dilihat secara bertanggungjawab dan serius, jika ingin melihat
Sekolah Penyayang menepati hasrat yang kita ingini.
3.2 Ilmu
Budaya
ilmu ini perlu berlaku dalam sesebuah sekolah untuk melahirkan Sekolah
Penyayang. Budaya ilmu yang dimaksudkan di sini ialah setiap elemen
tadi memahami dan menghayati peri pentingnya apa yang dimaksudkan
Sekolah Penyayang. Ilmu dan pemahaman tentang Sekolah Penyayang adalah
asas kepada kejayaan konsep tersebut. Semua yang terlibat perlu
memahami Konsep Sekolah Penyayang dan kepentingannya bagi pelajar.
3.3 Perkongsian
Budaya
perkongsian adalah satu lagi aspek yang kadangkala dilupakan dalam
menjayakan Konsep Sekolah Penyayang. Seharusnya usaha-usaha menjayakan
konsep sekolah ini dikongsikan bersama antara guru, murid dan komuniti.
Sekolah Penyayang sepatutnya dijadikan misi kepada sesebuah sekolah
untuk dikongsikan bersama terutama dengan murid dan komuniti.
3.4 Ambil Tahu
Ambil
tahu merupakan satu lagi budaya yang perlu wujud untuk menjayakan
Konsep Sekolah Penyayang. Kadangkala berlaku ibubapa yang menyerahkan
sepenuhnya anak kepada sekolah tanpa mengambil tahu perkembangan
akademik anak-anak mereka. Bagi mereka, apabila yuran sekolah telah
dibayar dan kelengkapan
persekolahan
mencukupi, maka terlepaslah tugas menghantar anak ke sekolah.
Kadangkala terdapat juga ibubapa yang tidak mengetahui bilakah Mesyuarat
Agung PIBG, Hari Anugerah, Hari Penyerahan Rekod Prestasi anak-anak
mereka. Budaya ambil tahu patut terus dipromosikan supaya hasrat untuk
menjayakan Sekolah Penyayang dapat dijayakan dengan cemerlang. Itulah
sebabnya sekolah tempat penulis bertugas mengadakan Hari Talian Kasih
secara tahunan bagi semua tingkatan.
3.5 Hormat-Menghormati
Budaya
hormat-menghormati perlu tersemai sebagai langkah penting untuk
menjayakan Sekolah Penyayang. Budaya ini sepatutnya wujud antara guru,
komuniti dan pelajar. Budaya ini merupakan budaya positif yang telah
dibicarakan dan diperkatakan sepanjang zaman. Namun begitu, masih lagi
terdapat beberapa peristiwa yang menunjukkan kurang mantapnya budaya
ini.
3.6 Penglibatan Semua
Budaya
menunding jari kepada orang lain apabila berlaku kelemahan akan dapat
dikurangkan apabila semua anggota komuniti dilibatkan dalam sesuatu
program. Apabila semua golongan terlibat dalam menyumbang idea,
merancang dan melaksana, maka kuranglah rasa kurang senang antara satu
sama lain. Sebaliknya mereka akan berganding bahu, berat sama dipikul
ringan sama dijinjing dalam menggerakkan Sekolah Penyayang.
3.7 Pengukuhan Positif
Membudayakan
kita dengan pengukuhan positif adalah satu lagi kekuatan kepada
menjayakan Konsep Sekolah Penyayang. Semua orang suka dipuji dan
menerima hadiah. Oleh itu budaya pengukuhan positif adalah resepi
penting dalam menjayakan Sekolah Penyayang. Namun begitu, kadangkala
unsur yang kecil ini menatijahkan kesan yang besar dalam membina
Sekolah Penyayang.
3.8 Hubungan Sekolah dan Komuniti
Kewujudan
hubungan erat antara sekolah dan komuniti merupakan salah satu unsur
penting dalam menjayakan Sekolah Penyayang. Komuniti mestilah dilibatkan
dalam setiap program sekolah samada besar maupun kecil. Ianya
menjadikan sekolah adalah milik bersama. Jatuh bangun sekolah adalah
juga tanggungjawab komuniti. Hubungan erat ini biasanya akan memberikan
kesan juga kepada peningkatan pencapaian akademik sesebuah sekolah.
3.9 Budaya Kerja Berpasukan
Kerja
berpasukan adalah satu budaya yang cukup penting dalam menjayakan
Konsep Sekolah Penyayang. Kerja yang besar dan murni ini tidak mampu
digerakkan oleh seorang dua sahaja dalam sebuah organisasi sekolah.
Kerja berpasukan telah membuktikan kejayaan dalam semua organisasi
terutama organisasi korporat. Oleh itu, apa salahnya ia diterjemahkan
dalam sebuah organisasi yang bernama sekolah demi membina apa yang
dinamakan Sekolah Penyayang. Kerja berpasukan inilah yang telah
menjadikan sekolah penulis memenangi Sekolah Harapan Negara dan Anugerah
Kualiti Menteri Pendidikan Tahun 1998.
4. PENGISIAN KONSEP SEKOLAH PENYAYANG
Teras
kepada Konsep Sekolah Penyayang ialah sayang-menyayangi dan kemesraan.
Tanpa dua teras ini, Sekolah Penyayang tidak akan berperanan dengan
baik. Jika ditinjau kepada pengisian kepada konsep Sekolah Penyayang
yang boleh dijalankan di sekolah-sekolah, kita boleh membicarakan
pengisiannya dalam tiga kelompok .
Tiga kelompok yang dimaksudkan ialah :
4.1 Kelompok Guru dan Murid
Di antara aktiviti-aktiviti yang praktikal yang boleh dijalankan untuk kelompok ini, antaranya:
i) Perjumpaan Pagi
Melalui
perjumpaan ini yang mengambil masa 5 hingga 10 minit, guru boleh
bertanya tentang masalah pelajar samada di rumah mahupun di sekolah.
Dalam perjumpaan pagi ini, guru boleh menyelaraskan banyak perkara
dengan pelajar. Pelajar akan berasa dirinya dihargai dan disayangi
apabila guru mengambil berat tentang mereka.
ii) Memberi Salam, Kad dan Hadiah
Guru
dan pelajar boleh berlumba-lumba memberi salam antara mereka. Kad dan
hadiah juga adalah unsur yang menunjukkan wujudnya kemesraan dan
sayang-menyayangi antara guru dan pelajar. Kad hari lahir, kad dan
hadiah untuk kejayaan dalam ujian dan peperiksaan adalah satu bukti
Konsep Sekolah Penyayang.
iii) Menziarahi Murid dan Guru
Satu
lagi cara membantu kejayaan Sekolah Penyayang ialah berlakunya amalan
ziarah-menziarahi apabila pelajar sakit. Biasanya guru hanya menerima
sijil sakit sahaja dan rasanya tidak mengaibkan jika seorang guru
bertandang ke- rumah pelajarnya untuk menziarahinya yang sakit.
iv) Perkongsian Misi Sekolah
Misi
sekolah mestilah memasukkan unsur-unsur pembinaan Sekolah Penyayang.
Setelah itu, para pelajar dikongsikan bersama dengan misi ini melalui
ceramah, kuiz, pertandingan bahas, pertandingan poster, pertandingan
kebersihan kelas dan menghiasi sudut-sudut kelas, tingkatan maupun
sudut- sudut yang terdapat di sekitar sekolah. Pertandingan kelas
terbersih terus dikekalkan. Ada baiknya jika pelajar juga dikongsi
bersama dalam menghasilkan misi sekolah untuk menimbulkan perasaan
mereka sayang kepada misi sekolah dan sekolah itu sendiri.
v. Kempen
Kempen
Sayangi Sekolah Anda, Sekolah Kita Rumah Kita, Datang Jam 7.30 Pagi,
Kutip Sehari Satu Sampah dan lain lain lagi boleh dibuat untuk
menanamkan bibit menyayangi sekolah. Kempen Memberi Salam dan Senyum
juga boleh dijalankan menjurus ke arah itu. Kempen ini perlu disusun
dengan baik supaya dapat memberi impak yang sebaiknya demi menjayakan
Konsep Sekolah Penyayang.
vi. Sudut Kita
Para
pelajar boleh dilantik sebagai bapa dan ibu angkat kepada sudut-sudut
dan kawasan-kawasan tertentu dalam kawasan sekolah. Mereka diberi tugas
untuk mempastikan keceriaan sudut-sudut tersebut di samping itu
maklumat di sudut tersebut perlulah semasa dan sentiasa bertukarganti.
vii) Memuji dan Tidak Mencela
Satu
lagi cara yang boleh membantu ke arah memartabatkan Sekolah Penyayang
ialah membanyakkan pujian kepada para pelajar di atas jasa dan kejayaan
mereka. Kadangkala cara menepuk bahu pelajar dengan sesuatu kebaikan
yang dilakukan akan menimbulkan rasa seronok dan sayang mereka kepada
sekolah. Seharusnya mencela dan mengejek mereka di atas kesalahan yang
dilakukan patut dielakkan. Cuba terangkan kesalahan yang dilakukan dan
kenapa patut dijauhi. Ini akan menjadikan mereka mengetahui baik dan
buruk sesuatu perkara.
viii) Memaksimum Penglibatan Pelajar Dalam Pengurusan Kelas
Satu
lagi langkah yang praktikal untuk membina Sekolah Penyayang ialah para
pelajar perlu diberi penglibatan yang maksimum dalam pengurusan kelas
mereka. Biarkan mereka menguruskan kelas dan tingkatan mereka mengikut
citarasa mereka. Ini boleh meningkatkan rasa kasih dan sayang kepada
kelas dan merasai itu adalah hak mereka.
ix) Melibatkan Pelajar Dalam Perbincangan Aktiviti Penyayang
Para
pelajar dilibatkan sejak awal lagi dalam perbincangan aktiviti untuk
membina Sekolah Penyayang. Mungkin ada idea yang baik dari mereka yang
boleh diterima pakai untuk menjayakan konsep ini. Apabila para pelajar
dilibatkan sejak awal dalam memberikan idea dan merancang aktiviti,
mereka akan merasakan aktiviti itu milik mereka bersama. Mereka akan
berusaha untuk menjayakan konsep tersebut.
4.2 Kelompok Murid Dengan Murid
Murid
dengan murid ini juga merupakan satu lagi kelompok penting dalam
menjayakan Konsep Sekolah Penyayang. Di antara aktiviti yang boleh
dijayakan oleh kelompok ini ialah :
i) Mesyuarat Kelas
Para
pelajar diberikan peluang untuk mengadakan mesyuarat kelas atau
tingkatan mereka sendiri. Ianya bermula dengan melantik ketua tingkatan
dan ahli jawatankuasanya, membincangkan aktiviti sehinggalah penetapan
yuran kelas.
ii) Mentor-mantee
Pelajar
yang terkedepan bidang akademiknya boleh dipilih untuk menjadi mentor
manakala yang kurang akan menjadi manteenya. Mereka diberikan tugasan
untuk membimbing rakan-rakan mereka untuk berjaya. Semangat
berlumba-lumba akan berlaku dan mantee akan menyayangi mentornya yang
telah bertungkus lumus mengajar dan membantunya berjaya dalam sesuatu
mata pelajaran. Dalam setengah situasi, pelajar lebih mudah menguasai
sesuatu kemahiran melalui rakan sebaya berbanding dengan gurunya.
Program ini bukan sahaja melibatkan kelas-kelas peperiksaan seperti PMR
dan SPM, tetapi juga kelas-kelas lain.
iii) Menggerakkan Badan Pengawas
Badan
Pengawas sekolah juga boleh digerakkan untuk merealisasikan Konsep
Sekolah Penyayang. Mereka lebih hampir kepada para pelajar. Pengaruh
mereka selaku pengawas dan rakan sebaya amat berkesan jika dapat
dimanfaatkan. Kempen dan program yang digerakkan oleh mereka akan dapat
melahirkan rasa kasih sayang para pelajar lain kepada sekolah. Badan
pengawas boleh menganjurkan”Kempen Minggu Sayangi Sekolah”, ”Seorang
Pelajar Sebuah Pasu”, ”Seorang Pelajar Sepokok Bunga”, ”Kempen
Kebersihan Perdana” dan lain-lain.
iv) Rakan Islah
Islah
membawa maksud pembaikan. Para pelajar yang kurang sensitif menghayati
Konsep Sekolah Penyayang dapat diislahkan dengan menjadikan mereka
murid angkat kepada seorang pelajar lain. Abang atau kawan angkat
mereka akan mempastikan dalam tempoh-tempoh masa tertentu, berlaku
perubahan kepada akhlak dan perasaan sayang kepada sekolah dapat
dijelmakan atau ditingkatkan. Rakan Islah ini akan sentiasa bertemu dan
berbincang apa yang sepatutnya dilakukan oleh seorang pelajar kepada
sekolahnya. Perbincangan yang berterusan dan melibatkan mereka dalam
aktiviti yang menanamkan kasih sayang akan membentuk pelajar yang dapat
menjayakan Konsep Sekolah Penyayang.
v Melebarkan Salam
Budaya
memberi salam antara sesama pelajar juga adalah salah satu cara untuk
menjayakan Konsep Sekolah Penyayang. Ucapan kesejahteraan yang
diberikan oleh para pelajar sesama mereka akan menumbuhkan bibit-bibit
kasih sayang antara mereka. Apabila kasih sayang antara mereka
tersemai, mereka akan tertarik untuk datang ke sekolah dan mengasihi
sekolah.
4.3 Kelompok Warga Sekolah Dengan Ibu Bapa
Ibu
bapa yang dimaksudkan dalam konteks Sekolah Penyayang ini merujuk
kepada ibu bapa yang mempunyai anak yang belajar, institusi yang
terdapat di sekitar sekolah samada kilang, KEMAS, masjid, balai raya dan
lain-lain yang boleh membantu menjayakan Konsep Sekolah Penyayang.
Warga sekolah boleh memanfaatkan institusi ini semaksimum mungkin. Di
antara aktiviti yang boleh melibatkan ibu bapa dan institusi yang
terdapat di sekitar sekolah ialah:
i) Kelas Angkat
Ibubapa
boleh dilibatkan sepenuhnya dalam merealisasikan Konsep Sekolah
Penyayang. Ibubapa boleh dilibatkan dengan menjadikan mereka ibu dan
bapa angkat kepada kelas-kelas tertentu. Mereka akan ditugaskan untuk
menerapkan budaya Sekolah Penyayang kepada setiap kelas yang menjadi
anak angkat mereka. Ibubapa boleh berkongsi dengan pelajar kelas
tersebut bagaimana Sekolah Penyayang boleh dilahirkan melalui
penglibatan kelas masing-masing dan membina motto kelas yang bertemakan
Sekolah Penyayang. Apabila wujud para pelajar yang penyayang, maka akan
lahirkan kelas penyayang dan akhirnya akan membantu melahirkan Sekolah
Penyayang. Kempen ”Sayangi Rakan”, ”Sayangi Kelas”, ”Kelas Ceria Kami
Gembira” dan lain-lain boleh diadakan dari semasa ke semasa.
ii) Penglibatan Swasta Dengan Sekolah
Pihak
swasta boleh dilibatkan dengan program Sekolah Penyayang kerana mereka
mempunyai banyak infrastruktur yang boleh dimanfaatkan oleh pihak
sekolah. Pihak swasta dan korporat biasanya mempunyai peruntukan
kewangan mereka untuk program pendidikan dan kebajikan, di samping
kepakaran dalam motivasi dan pengurusan yang semestinya boleh digunakan
untuk menjana semangat penyayang di sekolah. Program motivasi kemahiran
belajar, TOT penyayang untuk pengawas sekolah boleh diadakan dengan
bantuan pihak swasta dan sumbangan kewangan untuk program Sekolah
Penyayang seperti pengindahan sekolah, peningkatan akademik dan
pemurnian akhlak.
iii) Persatuan Alumni Sekolah
Persatuan
Murid Tua atau alumni sekolah boleh digandingkan dengan warga sekolah
dalam merancang dan melaksanakan program Sekolah Penyayang. Apabila
alumni sekolah boleh digerakkan seaktif mungkin dalam penumpuan kepada
Sekolah Penyayang, tenaga warga sekolah yang lain, khususnya para
pendidik boleh menumpukan kepada pengajaran dan pembelajaran. Persatuan
Alumni ini juga boleh menaja poster, banting dan banner yang
mengandungi perkataan-perkataan yang merangsang rasa kasih dan sayang
pelajar kepada sekolah, misalnya, ”Selamat Datang Pelajar Yang
Disayangi”, ”Sayangilah Sekolah Anda, Nescaya Allah Menyayangi Anda”,
”Marilah Kita Berkasih Sayang Untuk Kecemerlangan Sekolah”.
iv) Perkongsian Pintar (Smart Partnership)
Membina
Sekolah Penyayang merupakan satu tugas yang amat berat, lebih-lebih
lagi cabaran yang bertali arus. Perkongsian pintar yang dilakukan
antara warga sekolah dengan badan-badan kerajaan, badan bukan kerajaan
(NGO) akan memudahkan hasrat ke arah mewujudkan Sekolah Penyayang.
Dalam setengah perkara, pihak-pihak luar boleh memainkan peranan untuk
menjayakan hasrat sekolah.
Jika
sekiranya pihak sekolah ingin mengindahkan landskap persekitaran sekolah
untuk melahirkan rasa selesa, kondusif dan menanamkan rasa sayang
pelajar kepada sekolah dengan persekitaran keindahannya, Majlis
Perbandaran dan Jabatan Pertanian boleh memberikan khidmat nasihat
mereka. Pihak masjid dan Pejabat Agama Islam Daerah pula boleh
menurunkan ilmu dan pengalaman tentang kepentingan Konsep Sekolah
Penyayang dalam konteks perkembangan pelajar sebagai hamba dan khalifah
Allah di atas muka bumi ini. Organisasi ini boleh dilibatkan dalam
menjayakan misi dan visi sekolah. Untuk menangani masalah dadah pula,
pihak PEMADAM dan AADK boleh dilibatkan untuk majlis penerangan dan
aktiviti-aktiviti yang dapat menjauhi para pelajar dari gejala ini.
v) Banyakkan Aktiviti Bersama
Salah
satu faktor yang membantu perhubungan yang erat antara warga sekolah
dan ibubapa atau komuniti ialah apabila kekerapan aktiviti bersama itu
dijalankan. Kadangkala program yang tidak formal seperti majlis
as-syura, perarakan keputeraan Rasulullah peringkat sekolah dan
program-program lain yang melibatkan warga sekolah, para pelajar dan
pihak ibubapa akan mewujudkan perasaan kebersamaan dan kasih sayang.
Apabila kebersamaan yang didasarkan atas hormat menghormati dan kasih
sayang ini diikat erat, maka mudahlah Konsep Sekolah Penyayang ini
dilakukan kerana mendapat sokongan dan dokongan padu dari semua pihak.
Pihak Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) atau Rukun Tetangga boleh
dilibatkan untuk menjayakan hasrat murni ini. Sepatutnya warga pendidik
dapat berusaha supaya Konsep Sekolah Penyayang ini menjadi milik semua
ahli yang berada dalam komuniti tersebut.
5.0 FAKTOR KEJAYAAN KONSEP SEKOLAH PENYAYANG
Semua
yang terlibat dengan menjayakan Konsep Sekolah Penyayang ini
mengharapkan natijah yang positif hasil daripada pengorbanan mereka.
Tidak ada satu kerja yang dilakukan tanpa mengharapkan kesan dan hasil
yang baik. Sekolah Penyayang sudah pasti diharapkan dapat dijelmakan
untuk memberikan impak kepada pendidikan di negara kita. Namun begitu,
penulis melihat terdapat beberapa perkara yang kecil, jika diabaikan
akan menggagalkan proses ini. Antara perkara-perkara berikut ialah :-
5.1 Komited dan Tanggungjawab
Dua
unsur ini amat perlu dalam menjayakan Sekolah Penyayang. Komited dan
rasa bertanggungjawab yang tinggi jika ada para warga sekolah, pelajar ,
ibubapa dan komuniti dalam menjayakan hasrat ini, tidak mustahil
sekolah penyayang akan hidup subur di arena pendidikan tanah air kita.
Sifat enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing perlu
dihumbankan sejauh-jauhnya dari kamus kehidupan kita demi melihat
kejayaan apa yang kita sama-sama perjuangkan.
5.2 Kenali Siapa Sekeliling Kita
Membina
hubungan dengan semua individu dan kelompok yang ada di sekeliling kita
tanpa mengira fahaman politik, agama dan kenegerian adalah faktor
penting dalam menjayakan hasrat murni ini. Hasrat murni ini perlu
dikongsikan bersama oleh semua ahli masyarakat. Jika warga sekolah
hanya memikirkan sekolah sahaja tanpa terlibat dan bergaul dengan
masyarakat, hasrat yang mulia ini akan menjadi angan-angan kosong kerana
kurangnya pendokong. Memahami budaya komuniti dan prihatin dengan apa
yang berlaku di dalamnya amat perlu dikuasai oleh warga sekolah.
5.3 Doa Mendoakan
Konsep
Sekolah Penyayang adalah hasil dokongan manusia yang sentiasa berhubung
antara satu sama lain. Kita menyedari bahawa manusia ini terdiri
daripada intelek, jasmani, emosi dan rohaninya. Hubungan spiritual
antara penggerak Sekolah Penyayang adalah perlu. Oleh itu amalan doa
mendoakan antara satu sama lain dan sentiasa memohon agar segala usaha
murni ini diberkati dan berjaya adalah satu amalan yang baik.
Kadangkala
kita memberikan penumpuan yang lebih dari aspek jasmani dan mengabaikan
aspek rohani. Apabila aspek ini diabaikan, maka ramailah yang mudah
kecewa, merajuk, tidak dapat bersabar dengan kerenah dan kepayahan
sewaktu menjayakannya. Sesungguhnya tanggungjawab kita adalah merancang
dan berusaha menjayakannya, tetapi Allahlah yang menentukan
segala-galanya.
5.4 Menjadi Pendengar Yang Baik
Penulis
melihat Sekolah Penyayang akan dapat berjaya apabila ianya dirancang
dengan teliti dan dijayakan sepenuh hati. Perancangan ini mestilah
melalui beberapa siri perbincangan dan ’brainstorming’. Sesi ini
memerlukan kita menyuarakan pandangan dan mendengar pandangan orang
lain. Banyak kegagalan berlaku disebabkan kita lebih suka menjadi
pencadang daripada tidak pendengar yang baik.
Sebenarnya
pendengar yang baik adalah kunci kepada perpaduan dan kemantapan
tindakan yang diambil. Semua pihak yang terlibat dalam menjayakan
Sekolah Penyayang perlulah membuka dada dan pemikiran mereka untuk
menerima cadangan dan saranan daripada orang lain. Semua cadangan
adalah baik dan kita memilih hanya yang terbaik untuk dilaksanakan.
Berdasarkan pengalaman penulis, ramai yang sanggup memberi cadangan yang
bernas dan sedikit yang sanggup melaksanakan cadangan itu sebaik
mungkin.
Menjadi
pendengar yang baik tidak menghalang kita memberi cadangan yang
dirasakan bernas. Apabila cadangan-cadangan itu dilihat dari segi
keutamaan dan kesan maksimum ke atas matlamat yang hendak dicapai,
kemungkinan ada cadangan kita yang disisihkan. Seharusnya, ia tidak
sedikit pun mengguris perasaan kita tetapi kita menyatukan hati kita
untuk melaksanakan apa yang terbaik yang telah dipilih itu.
5.5 Seronok Dengan Tugas
Seronok
dengan tugas dan amanah yang diberikan dan melakukannya dengan sebaik
mungkin adalah faktor kejayaan sesuatu kerja yang dilakukan. Ini tidak
terkecuali kepada Sekolah Penyayang. Semua yang terlibat dengan Sekolah
Penyayang perlu berasa seronok dengan tugas mereka demi mencapai hasrat
yang telah disepakati dan didokongi bersama. Keseronokan itu lebih
terasa apabila kita melihat riak-riak kejayaan kepada apa yang kita
perjuangkan. Mengharapkan ganjaran pahala dan kebaikan daripada Allah
juga menjadikan kita seronok dengan tugas kita. Walaupun tugas yang
kecil dan senang seperti penulis banner, pengerusi majlis, pencatat
minit, hanya membawa beberapa biji pasu bunga, membeli beberapa tin cat,
namun kita seronok dengannya kerana itulah sumbangan kita dalam
menjayakan hasrat murni iaitu membina sebuah sekolah yang diisikan di
dalamnya dengan perasaan kasih sayang dan sayang menyayangi antara satu
sama lain.
6.0 KESIMPULAN
Sekolah
Penyayang adalah institusi yang indah dan murni. Keindahan dan
kemurniannya perlukan kepada pengorbanan masa, tenaga,wang ringgit dan
keringat warga pendidik, pelajar, ibubapa dan komuniti setempat.
Hasrat
murni Sekolah Penyayang yang digagaskan berdasarkan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan dan Wawasan 2020 serta diperincikan melalui surat-surat
pekeliling ikhtisas Kementerian Pelajaran Malaysia akan berjaya apabila
ianya dikongsikan bersama.
Penulis
melihat, inilah masanya untuk kita membina pelajar yang cemerlang
akademik dan seimbang perkembangannya dari segi jasmani, emosi, rohani
dan intelek, serta mempunyai disiplin diri yang tinggi, berketrampilan,
patriotik, tidak bersikap individualistik sebaliknya mempunyai semangat
kerjasama berpasukan serta mampu memain peranan dalam masyarakat
(Rujukan: Perutusan Tahun Baru 2006, YB Menteri Pelajaran Malaysia)
seperti hasrat YB Menteri Pelajaran melalui wasilah pendidikan dan wadah
Sekolah Penyayang.